NILAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban melalui penyerahan kuasa yang lebih banyak kepada Parlimen.
Beliau berkata langkah itu termasuk pembentangan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang memerlukan Menteri Kewangan mengemukakan unjuran pertumbuhan serta pelan menurunkan kadar hutang negara untuk kelulusan Parlimen.
“Kerajaan mana yang sanggup menyerahkan kuasanya kepada Parlimen? Antaranya Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
“Maknanya kalau Menteri Kewangan umum dasar, Parlimen luluskan, kemudian tidak dapat dilaksanakan, Menteri Kewangan akan bentang semula supaya dasar kerajaan itu (dilaksanakan) penuh tanggungjawab,“ kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Sembilan di Dataran Nilai, di sini. Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Program bertemakan “Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti” itu diterajui oleh Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi serta kerajaan Negeri Sembilan selaku tuan rumah.
Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 diperkenalkan Kerajaan MADANI bertujuan mengadakan peruntukan bagi tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal, telah dikuatkuasakan pada 1 Jan 2024 setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 2023.
Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan mengenai pembentangan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan yang sedang dibahas di Dewan Rakyat sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap ketelusan.
“Kerajaan dahulu tidak berani buat. Semua perolehan kerajaan, Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan mesti ikut tatacara yang jelas, ikut tender melainkan soal keselamatan, kalau betul hendak beli radar untuk keselamatan mesti ada kerahsiaan, itu kita kecualikan,” kata beliau.
Anwar berkata hanya kerajaan yang kukuh dan berani sahaja sanggup menyerahkan kuasa kepada Parlimen membuktikan pentadbiran yang bertanggungjawab- BERNAMA