Karnival Kerjaya PMR terima 800 pendaftaran awal

NILAI: Karnival Kerjaya MyFutureJobs (Digital Career Fair) bersempena dengan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan yang bermula semalam, mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima lebih 800 pendaftaran awal.

Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Negeri Sembilan Norshakira Sulaiman berkata mereka yang masih mencari pekerjaan digalakkan untuk berdaftar dengan Portal Career Fair MyFutureJobs terlebih dahulu bagi membolehkan pihaknya meneliti setiap permohonan, selain menyediakan sesi bimbingan kerjaya.

“Terdapat 20 majikan terkemuka menyertai karnival kerjaya ini dengan menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi karnival ini juga, ada majikan yang melakukan sesi temu duga secara terus dan calon yang hadir disarankan menyediakan resume lengkap, dokumen berkaitan, berpakaian kemas dan memakai kasut bertutup.

“Setakat 3 petang tadi, sebanyak 70 individu berjaya ditawarkan pekerjaan mengikut pilihan mereka dan kita yakin lebih ramai yang akan berjaya ditawarkan pekerjaan pada hari terakhir karnival esok,“ katanya.

Reruai MYFutureJobs Digital Career Fair dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang sepanjang karnival selama tiga hari- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *