SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan fasiliti baharu kilang pembuatan kenderaan perisai nasional pertama milik Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) di Sendayan, Negeri Sembilan.
Fasiliti dengan anggaran pelaburan RM2 bilion itu bertujuan memperkukuh infrastruktur pertahanan negara serta meningkatkan kapasiti pengeluaran secara signifikan, dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2026.
Anwar berkata syarikat tempatan seperti Mildef berupaya mengurangkan perbelanjaan perolehan ketenteraan dari luar negara, sejajar dengan hala tuju yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).
“Kerajaan perlu berbelanja besar dalam perolehan untuk memastikan tahap kesiapsiagaan pertahanan lebih mantap dan kukuh, namun kita tidak boleh hanya bergantung kepada pembelian dari luar negara.
“Mesti ada usaha lebih giat membina kekuatan dalaman melalui penyelidikan dan pengeluaran oleh sektor swasta, dengan dukungan penuh Kementerian Pertahanan serta universiti, supaya kita dapat membangunkan industri pertahanan tempatan,” katanya dalam ucapan perasmian majlis itu.
Perdana Menteri berkata walaupun syarikat tempatan tidak mampu menerokai bidang yang terlalu luas, masih terdapat beberapa segmen khusus yang boleh dibangunkan melalui kepakaran dan kemahiran tempatan, seperti yang dilakukan Mildef dalam pengeluaran kenderaan perisai.
Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Urusan Mildef Datuk Seri Mohd Nizam Kasa.
Sementara itu, Mohd Nizam berkata Mildef berkembang daripada sebuah syarikat kecil yang ditubuhkan 20 tahun lalu di Kajang, sehingga muncul sebagai peneraju nasional dalam penyelenggaraan dan pengeluaran kenderaan perisai seperti High Mobility Armoured Vehicle (HMAV 4×4) Tarantula serta High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV) pertama negara, Ribat.
Beliau berkata syarikat itu kini menggaji 150 tenaga kerja tempatan yang majoritinya berkemahiran teknikal, dengan kemampuan menghasilkan sekurang-kurangnya 80 kenderaan perisai dan produk lain setahun.
“Penubuhan kilang Mildef ini adalah strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk dan teknologi luar negara atau pihak ketiga, sejajar dengan dasar kementerian (Kertas Putih Pertahanan).
“Kami yakin dengan kemampuan kilang ini, kerajaan boleh beralih daripada konsep membeli produk dan teknologi pertahanan luar kepada membangunkan, mengeluarkan serta menggunakan teknologi pertahanan tempatan dengan kerjasama industri dalam negara,” katanya.
Beliau percaya keadaan geopolitik dunia masa kini turut membuka peluang eksport produk Mildef ke pasaran ASEAN, Eropah dan Timur Tengah, sekali gus menjana ekonomi negara – BERNAMA