Kempen bersama Malaysiaku seru semangat Digital Merdeka

NILAI: Kempen Gerakan Bersama Malaysiaku menerusi Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Sembilan menyeru semua lapisan masyarakat untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan yang lebih inklusif dan bermakna melalui penyertaan digital.

Ketua Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Sapian Mamat berkata kempen itu memberi peluang warganegara berumur 18 tahun ke atas untuk menzahirkan semangat patriotik dengan memuat naik gambar peribadi dengan kata-kata aspirasi kemerdekaan di portal Bersama Malaysiaku.

Beliau berkata lebih daripada sekadar gambar, Gerakan Bersama Malaysiaku juga bertujuan mengumpulkan detik bermakna rakyat Malaysia sebagai simbol perpaduan nasional dalam era digital.

“Selama ini, kita meraikan Hari Kebangsaan dengan hanya menyaksikan perarakan. Kini, dengan inisiatif Gerakan Bersama Malaysiaku, rakyat boleh turut serta secara langsung dalam menyemarakkan semangat patriotik secara digital, inilah aspirasi Malaysia MADANI yang kami garapkan,” katanya kepada Bernama.

Sapian berkata setiap peserta boleh menghantar sehingga lima keping gambar berserta mesej patriotik sebelum tarikh tutup pada 14 September ini dengan penyertaan yang bertuah akan diumumkan pada 16 September sempena sambutan Hari Malaysia untuk menerima penghargaan khas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih menarik, gambar-gambar yang dimuat naik akan dipaparkan dalam bentuk tiles digital di laman portal sebagai simbol visual kepada penyatuan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Tinjauan Bernama di reruai PMR Negeri Sembilan di sini mendapati pengunjung teruja menyertai kempen berkenaan, dengan merakam gambar di kotak khas bertulisan ‘Bersama Malaysiaku’ sebagai tanda sokongan dan penyertaan.

Jururawat pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan (Kejururawatan) Kuala Pilah Nur ‘Izzah Atierah A. Wahid, 25, berkata beliau dan rakan-rakannya berasa bangga menjadi sebahagian daripada kempen itu.

“Kami sangat teruja dapat bergambar di ruang khas ini. Bukan saja dapat menyertai aktiviti menarik, malah dapat meluahkan semangat kemerdekaan secara kreatif,” katanya.

Muhammad Shafiq Nazaruddin, 31, berkata dia dapat berkongsi semangat patriotik secara lebih kreatif kali ini dan seronok dapat turut serta secara digital dalam menyambut Hari Kebangsaan- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *