KUALA LUMPUR: Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia melancarkan Kempen SEDAR@ANTI BULI hari ini dalam usaha membendung budaya buli dalam kalangan masyarakat.
Presiden merangkap pewaris mutlak Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi, Dr Md Radzi Hanafi berkata kempen bertemakan “Pusaka Hanafi Benci Buli” itu akan digerakkan di pusat pengajiannya.
“Silat bukan sahaja seni pertahanan diri, tetapi juga mampu membentuk sahsiah diri yang tinggi, disiplin, keberanian dan bertanggungjawab.”
“Silat juga lambang warisan budaya, selain membentuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Himpunan MADANI Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi 1447 Hijrah di sini hari ini.
Kempen SEDAR@ANTI BULI ialah inisiatif Silat Cekak Pusaka Hanafi untuk mendidik ahli, khususnya generasi muda agar mempunyai disiplin dan akhlak mulia melalui silat.
Kempen itu juga merupakan usaha berterusan mereka dalam membina masyarakat lebih aman, harmoni dan bebas daripada budaya buli, selaras dengan matlamat Malaysia MADANI.
Sementara itu, Muhammad Kamil dalam ucapannya berkata kesedaran mengenai perlakuan buli perlu diwujudkan secara menyeluruh.
“Saban hari kita mendengar kejadian buli yang bukan sekadar di sekolah, universiti dan pejabat, (tetapi juga di) ruang awam, persatuan, syarikat mahupun organisasi.”
“Kesedaran yang kita cuba wujudkan ini juga untuk membina keberanian dan kekuatan serta harus ditanam dalam setiap diri dan jiwa anak-anak,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan 500 tenaga pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi menyertai Himpunan MADANI dengan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotisme mereka. – Bernama