IPOH: Tiada keperluan menutup mana-mana sekolah kurang murid (SKM) kerana institusi itu memenuhi kepentingan pendidikan serta menjadi nadi kepada komuniti setempat, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Wong berkata bagi memastikan SKM terus relevan, beberapa pendekatan telah dilaksanakan bagi memastikan pengurusannya lebih tersusun tanpa menjejaskan akses pendidikan kepada murid di kawasan berkenaan.
“Contohnya, kita tetap mengekalkan SKM di lokasi sama sekiranya langkah itu memang menjadi keperluan dan satu-satunya akses pendidikan walaupun bilangan murid hanya kira-kira tiga orang setiap tahun.
“Selain itu, kita juga mengambil pendekatan melakukan percantuman kelas melibatkan tahun satu dan tahun dua serta tahun empat dengan tahun lima jika SKM itu mempunyai bilangan murid kurang daripada 30 orang,” katanya.
Wong berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Penyelenggaraan Sekolah Bantuan Kerajaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara di sini hari ini.
Pada 15 April tahun lepas, Wong berkata sebanyak 3,038 sekolah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai SKM dan beberapa dasar dirangka oleh KPM bagi melancarkan pengendalian institusi pendidikan terbabit.
Dalam pada itu, beliau berkata pemindahan SKM ke lokasi baharu merupakan pendekatan terakhir untuk dilakukan, namun perkara itu bergantung pada beberapa aspek teknikal dan kerjasama pelbagai pihak.
“Terma ini mengambil kira pemindahan dari lokasi asal ke lokasi baharu. Namun, bergantung pada keperluan dan kawasan yang dibenarkan untuk membina sekolah itu. Ia agak teknikal dan memerlukan penglibatan pelbagai pihak,” katanya.
Wong berkata usaha itu membuktikan kerajaan serius menangani isu SKM tanpa menjejaskan hak pendidikan kanak-kanak untuk berjaya dalam pendidikan walaupun berada di kawasan pedalaman. – Bernama