IPOH: Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM19.09 juta bagi tujuan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah itu meningkat berbanding RM18.15 juta yang diperuntukkan kepada semua SJKT yang membuat permohonan pada tahun lepas.
“Bagi Perak sahaja, SJKT menerima peruntukan sebanyak RM4.43 juta pada tahun ini, meningkat daripada RM4.13 juta pada 2024.
“Kesemua peruntukan membabitkan SJKT ini juga akan digunakan oleh pihak sekolah dalam membuat penyelenggaraan atau penambahbaikan yang diperlukan oleh sekolah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Penyelenggaraan Sekolah Bantuan Kerajaan PPD Kinta Utara di sini.
Wong menyampaikan peruntukan berjumlah RM810,000 kepada lapan SJKT di dalam daerah Kinta Utara pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan.
Wong berkata peningkatan jumlah peruntukan kepada SJKT juga membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk menambah baik prasarana sekolah agar selamat, kondusif dan selesa digunakan.
“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan akses pendidikan sampai kepada semua tanpa mengira latar belakang, aliran dan lokasi. Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha membina masa depan anak-anak kita dengan lebih terjamin,” katanya. – Bernama