TANJONG MALIM: Konglomerat multinasional BYD akan membuka kilang pengeluaran kenderaan elektrik di bandar ini dengan pengeluaran dijangka bermula pada 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata fasa pertama projek itu akan melibatkan kawasan seluas 60 hektar dan dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan.
Beliau berkata projek itu adalah pencapaian besar daripada pelaksanaan Muallim Speed Lane oleh kerajaan negeri yang mempercepat proses kelulusan pelaburan strategik.
Pelaburan BYD bukan sahaja memberi impak besar kepada ekonomi negeri malah mempercepat pembangunan sektor pembuatan berteknologi tinggi dan industri hijau.
“Selain itu, pelaburan BYD adalah satu langkah penting dalam menjayakan inisiatif Lembah Teknologi Tinggi Automotif Tanjung Malim yang sedang dilaksanakan di Tanjong Malim,“ katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Pembangunan Industri Daerah Muallim.
Loh berkata kehadiran BYD akan memperkukuh ekosistem automotif di Perak melalui kewujudan sinergi bersama Proton atau Geely dan sokongan industri yang sama di utara Selangor.
Kelulusan tanah telah dimulakan pada Mei lepas manakala kerja-kerja awal bermula Julai.
Pembinaan kilang dijangka bermula pada akhir Ogos ini dengan majlis pelancaran dijadual disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada 4 September.
“Kilang itu juga akan memberi peluang kerjasama lebih luas kepada syarikat tempatan dalam sektor rantaian bekalan automotif selain memperkasakan penduduk dengan kemahiran teknologi hijau,“ katanya.
Kewujudan BYD juga adalah bukti keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI serta komitmen kerajaan negeri untuk menjadi peneraju dalam industri automotif berteknologi tinggi.
Pembinaan infrastruktur kilang EV pertama Proton Holdings Bhd di Tanjung Malim kini mencapai 90.4 peratus manakala pemasangan peralatan pada 83.5 peratus.
Kemajuan projek itu menunjukkan kilang berkenaan hampir siap dibina dan bersedia untuk beroperasi dalam tempoh terdekat.
“Kehadiran pelabur baharu termasuk BYD turut memperhebat pembangunan hab automotif di Tanjung Malim sekali gus mengukuhkan kedudukan Perak sebagai pusat pengeluaran kenderaan berteknologi tinggi dan hijau di rantau ini,“ katanya. – Bernama