PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) meneliti semula aspek keselamatan negara susulan penahanan anggota Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) di selatan tanah air, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Difahamkan dua daripada mereka yang ditahan ialah pegawai MDIO,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi menyatakan Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi keselamatan yang mungkin timbul.
“Perdana Menteri meminta MINDEF membentangkan laporan penuh kepada Jemaah Menteri selepas siasatan SPRM,” katanya.
Pada 13 Ogos lalu, SPRM menahan 10 individu termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Fahmi berkata Perdana Menteri turut menegaskan siasatan SPRM mesti diteruskan tanpa sebarang gangguan.
Beliau menambah siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia hanya akan dijalankan selepas selesai siasatan SPRM.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan Perdana Menteri telah meminta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi laporan status terkini siasatan insiden pesawat pejuang F/A-18D Hornet.
Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia itu terhempas di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi.
“Menteri Pertahanan telah memaklumkan, Alhamdulillah, kedua-dua juruterbang selamat dan siasatan sedang dijalankan,“ katanya.
Fahmi menambah hasil siasatan akan dibentangkan semula ke Jemaah Menteri sebaik selesai. – Bernama