Polis rakam keterangan 30 individu kes bunuh pelajar kolej Subang Jaya

PETALING JAYA: Polis telah merakamkan keterangan 30 individu termasuk ahli keluarga, rakan dan saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar kolej wanita yang disyaki dibunuh di kediaman keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya, pada 14 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menjangkakan memanggil lima individu lagi terdiri daripada rakan dan ahli keluarga dalam masa terdekat.

“Kita dalam tindakan mengesan beberapa saksi … sesiapa sahaja boleh menjadi suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian selain fokus terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar rumah mangsa dan telefon bimbit pelajar terbabit.

Mangsa berusia lingkungan 20-an ditemukan tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah itu oleh bapanya pada 11.55 pagi, hari berkenaan.

Berdasarkan laporan bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang, punca kematian disahkan akibat pendarahan pada sekeliling tulang leher (hyoid bone) manakala kecederaan pada otot dan tulang ialah kesan cekikan (manual strangulation).

Mangsa yang tinggal bersama-sama kakak serta sepupunya dilaporkan bersendirian semasa kejadian dan tiada kehilangan harta benda dilaporkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan kes itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *