Ketua pemuda UMNO mengaku tidak bersalah keluar kenyataan cetus kegusaran awam

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam dan kegusaran awam.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, Dr Muhamad Akmal didakwa mengeluarkan kenyataan itu menerusi satu hantaran di media sosial pada kira-kira 3 petang, 11 Ogos lalu, yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran serta kegusaran awam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Mohd Nordin Ismail mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dr Muhamad Akmal diwakili pasukan peguam diketuai Aizat Azam.

Pasukan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Dr Muhamad Akmal.

Bagaimanapun Aizat memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 dengan alasan anak guamnya perlu melaksanakan tugas rasmi sebagai doktor dan wakil rakyat, selain mempunyai seorang isteri serta dua anak kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Sept ini untuk serahan dokumen – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *