Rexy optimis pasangan beregu mampu bawa pulang pingat

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky optimis pasangan negara tidak akan pulang tangan kosong pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang dijadual berlangsung di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Rexy berkata skuad beregu yang dibarisi pemain pilihan kali ini dianggap antara yang terkuat pernah dihantar oleh kontinjen Malaysia ke kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihak kejurulatihan tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan ke atas pemain kerana bimbang ia akan memberi kesan negatif terhadap prestasi mereka.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada pemain sebaliknya kita biar mereka nikmati permainan kerana inilah masanya untuk mereka seronok bermain.

“Mereka telah menempuh pelbagai kesukaran, dengan latihan dan segala tekanan. Jadi, kini tiba masa untuk mereka menikmati hasil kerja keras tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Rexy mengakui gembira apabila beberapa beregu lelaki negara yang menyertai kejohanan itu diletakkan sebagai pemain pilihan.

Beliau berkata situasi itu sedikit sebanyak mengurangkan tekanan buat beregu lelaki negara terutamanya bekas juara dunia, Aaron Chia Soh-Wooi Yik.

“Pada edisi lepas ramai tertumpu kepada Aaron-Wooi Yik meskipun waktu itu kita ada Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

“Tapi sekarang permainan Nurr Izzuddin-Sze Fei, dan Wei Chong-Kai Wun semakin meningkat. Jadi ini sedikit sebanyak mengurangkan tekanan buat Aaron Wooi Yik,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi kali ini, Malaysia mempunyai empat wakil dalam acara beregu lelaki iaitu, Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Nur Izzuddin-Sze Fei dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *