TANJUNG MALIM: Lima pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang berdepan detik cemas selepas terperangkap kira-kira sejam dalam kejadian kepala air di Kampung Sungai Dara, Tanjung Malim, petang tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima maklumat kejadian melibatkan kesemua mangsa lelaki berusia 21 tahun itu pada 6.54 petang.
Sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim serta BBP Slim River digegaskan ke lokasi kejadian.
Kesemua mangsa terperangkap di tengah sungai.
Mereka berada di atas batu semasa mandi-manda sebelum muncul kepala air secara tiba-tiba akibat hujan lebat.
Ketua operasi membuat penilaian situasi seterusnya mengarahkan anggota memakai peranti pengapungan peribadi (PFD) lengkap bagi melakukan kerja-kerja penyelamatan di air dengan menggunakan tali, PFD dan throw bag.
Pihak bomba kemudian menggunakan teknik river crossing seterusnya mengeluarkan mangsa secara berperingkat sehingga berjaya diselamatkan dan dibawa ke tebing.
Kesemua mangsa yang berada dalam keadaan baik diserahkan kepada pihak polis yang berada di lokasi untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada 8.35 malam. – Bernama