KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan melibatkan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malam tadi.
Menerusi hantaran di laman X hari ini, Perdana Menteri juga meminta pihak berkuasa memastikan langkah keselamatan yang sewajarnya diambil.
Anwar turut menyatakan simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM yang terlibat dalam insiden itu.
“Saya mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” katanya.
Dua anggota TUDM yang terbabit dalam insiden di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada 9.05 malam tadi dilaporkan selamat dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan lanjut – BERNAMA