Sukan SEA Pekak 2025: Dalam ‘senyap’, Jakarta bergema

JAKARTA: Gedung Olahraga (GOR) Universitas Negeri Jakarta (UNJ) menjadi saksi detik penuh makna majlis pembukaan rasmi Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang menyatukan 270 atlet dan pegawai dari tujuh negara dalam ‘dunia tanpa bunyi’ namun sarat dengan semangat, keberanian dan harapan.

Majlis di ruang tertutup itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, sebelum persembahan kebudayaan ‘Tari Taut Satu Rasa’ dengan setiap detik acara diterjemahkan oleh jurubahasa isyarat bagi memastikan semua hadirin dapat bersama-sama menghayati momen bersejarah itu.

Perarakan masuk kontinjen tujuh negara bermula dengan Brunei diikuti Laos, Malaysia, Filipina, Thailand, Timor Leste dan tuan rumah, Indonesia.

Turun sebagai juara bertahan, kontinjen Malaysia tampil dengan 53 atlet yang mengenakan sut balapan berwarna biru, putih dan kuning dipimpin atlet lompat jauh dan lompat kijang, Zaiman Megat Abu selaku pembawa Jalur Gemilang serta Ketua Kontinjen Sarkunan Balakrisnan yang juga Naib Presiden MSDeaf.

Malaysia menyasarkan 16 pingat emas iaitu enam menerusi olahraga, lima dalam boling tenpin, dua badminton, dua catur dan satu futsal.

Majlis diteruskan dengan perarakan bendera Persekutuan Sukan Orang Pekak Asia Tenggara (ADSF) serta bendera kejohanan diikuti upacara menaikkan bendera ke tiang utama.

Selepas beberapa ucapan pembukaan, pengisytiharan oleh Kepala Dinas Pemuda dan Olahraga Indonesia Andri Yansyah menandakan tirai pertandingan dibuka secara rasmi.

Ia diikuti dengan ikrar atlet dan pegawai sebelum persembahan kebudayaan ‘Tari Sirih Kuning’.

Tatkala obor temasya dibawa masuk oleh pemenang pingat perak Deaflympics 2017, Ilham Achmad Turmudzi ke stadium, penonton menyaksikan momen simbolik yang menyalakan harapan dan mengangkat maruah komuniti pekak serantau.

Temasya sukan ini bukan hanya tentang perebutan pingat tetapi juga pengiktirafan kepada atlet pekak yang berhak diraikan dan diangkat setara dengan mana-mana wira sukan yang lain.

Edisi kedua SEA Pekak berlangsung hingga 26 Ogos di Jakarta- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *