KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permintaannya merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.
Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan yang dibangkitkan balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu bukan remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
“Malah, terdapat isu perlembagaan yang jelas dan penting untuk diputuskan oleh mahkamah tertinggi.”
“Persoalan yang dibangkitkan bukanlah dangkal atau penyalahgunaan proses mahkamah seperti diputuskan Mahkamah Sesyen, sebaliknya ia cabaran penting terhadap suatu peruntukan undang-undang,“ kata hakim itu.
Dapatan kes itu akan memberikan kesan besar terhadap hak individu yang dipanggil sebagai saksi, termasuk pemohon dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain memperincikan lagi had kuasa di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis untuk mengisytiharkan aset beliau termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur serta Pulau Pinang.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda 100,000 ringgit jika sabit kesalahan.
Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Bagaimanapun, pada 18 Februari lepas Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Na’imah atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu perlembagaan yang dibangkitkan dalam kes terbabit.
Na’imah memohon semakan terhadap keputusan itu untuk perkara berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan, namun undang-undang menetapkan ia perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi terlebih dahulu.
Sementara itu, semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Azura, Mahkamah Sesyen mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan nota prosiding diserahkan kepada Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry mewakili pihak pendakwaan, manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar. – Bernama