KOTA BHARU: Kerajaan akan mengkaji cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata perkara itu sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembentangan RMK13 di Parlimen.
“Buat masa ini, saya tidak dapat memberi sebarang keputusan kerana kajian akan bermula dalam RMK13 dan dijangka selesai selepas rancangan itu berakhir,“ katanya.
Beliau menambah JPA akan memulakan dapatan awal lebih awal dengan membuat perbandingan umur persaraan di negara lain sebagai penanda aras.
Wan Ahmad Dahlan berkata beberapa negara telah menetapkan umur persaraan lebih tinggi berbanding Malaysia, antaranya Singapura (62 tahun) dan negara-negara Scandinavia sehingga 70 tahun.
“Justeru, ini bukan perkara luar biasa untuk kerajaan pertimbangkan,“ katanya.
Beliau menekankan kajian memerlukan masa panjang dan tidak akan dilaksanakan secara bersendirian.
JPA akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk persatuan pesara, Cuepacs serta persatuan belia.
Mengulas pandangan bahawa peningkatan umur persaraan boleh menjejaskan produktiviti, beliau berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan awal kerana ada negara lain yang berjaya mengekalkan produktiviti walaupun umur persaraan mereka lebih panjang,“ katanya.
Perdana Menteri semasa pembentangan RMK13 memaklumkan bahawa had umur persaraan wajib akan dikaji semula seiring peralihan Malaysia ke arah negara tua.
Pelbagai aspek termasuk implikasi kewangan dan kesan terhadap peluang pekerjaan perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam di Malaysia ditetapkan pada 60 tahun. – Bernama