26 warga asing ditolak kemasukan di ICQS Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR: Sebanyak 26 Notis Penolakan Masuk dikeluarkan terhadap warga asing yang disyaki bukan pelancong tulen di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam semalam.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan SAC Mohd Nasaruddin M Nasir berkata kesemua warga asing tersebut ditolak kemasukan mereka kerana tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat mengikut Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata mereka terdiri daripada 13 wanita dan seorang lelaki Thailand, tujuh lelaki warga India, empat wanita Laos dan seorang wanita warga Vietnam.

“Pecahan jantina semuanya ialah lapan lelaki dan 18 wanita dan semua individu terbabit diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan penolakan masuk tersebut dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard dan pekeliling jabatan yang sedang berkuat kuasa.

Mohd Nasaruddin berkata tiada rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *