Tiga warga China dipenjara 28 bulan kesalahan pecah rumah di Perlis

KANGAR: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 28 bulan terhadap tiga lelaki warga China selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah rumah di Kuala Perlis.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor memerintahkan Yin Guanghua, 50, Lin Bingde, 54, dan Luo Zhibing, 38, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 18 Julai lepas.

Ketiga-tiga mereka secara bersama-sama dituduh melakukan pecah masuk ke rumah seorang lelaki berusia 62 tahun untuk mencuri, di Taman Bukit Kubu Fasa 2, Kuala Perlis pada 10.13 malam, 18 Julai.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda sekiranya disabitkan kesalahan.

Jika kesalahan itu ialah mencuri, dipenjarakan maksimum 14 tahun dan didenda bagi tiap-tiap kesalahan kali kedua dan selanjutnya dipenjarakan seperti di atas dan didenda atau disebat sekiranya disabitkan kesalahan.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin kepada tiga lelaki berkenaan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi, manakala kesemua warga China itu tidak diwakili peguam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *