ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah telah menyerahkan 10 unit bot aluminium kepada Bomba Komuniti di negeri ini sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula Oktober depan.
Pengarah JBPM Kedah Awang Hidzel Awang Bujang menyatakan kesemua bot yang diserahkan kepada 10 Bomba Komuniti terpilih itu dilengkapi dengan enjin dan peralatan lain, antaranya jaket keselamatan.
“Tujuan kita edarkan bot ini adalah sebagai langkah awal untuk menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku pada Oktober ke atas,“ katanya.
Beliau menambah bahawa pegawai dan anggota JBPM Kedah akan memberikan latihan kepada Bomba Komuniti cara mengendalikan bot berkenaan.
“Latihan ini membolehkan mereka bersedia sekiranya berlaku kecemasan ketika banjir,“ jelas Awang Hidzel.
Beliau menegaskan ini bukan bermaksud kita lepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada Bomba Komuniti tetapi mereka tolong memudahkan dan mempercepatkan proses penyelamatan penduduk yang terjejas banjir sebelum bantuan tiba.
Awang Hidzel berharap semua Bomba Komuniti yang menerima bot berkenaan dapat menjaga aset itu dengan baik bagi membolehkan ia digunakan semasa sesi penyelamatan.
Beliau mendedahkan terdapat 114 ‘hotspot’ bencana banjir yang melibatkan 11 daerah, dengan Baling mencatatkan jumlah kawasan banjir tertinggi diikuti Langkawi, Kuala Muda, Bandar Baharu, Kulim, Sik, Pendang dan Kota Setar.
“Memang kita sentiasa bersedia tetapi buat masa ini negara dijangka menerima jumlah hujan yang rendah dan akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan berbanding hari hujan di kebanyakan negeri,“ ujarnya.
Beliau menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama sekiranya berlaku banjir dan arahan pindah dikeluarkan bagi memudahkan kerja penyelamatan dilaksanakan.
Kerjasama masyarakat akan memastikan keselamatan semua pihak dalam keadaan baik ketika menghadapi bencana banjir. – Bernama