KUALA LUMPUR: Cadangan menambah pasukan pemerhati bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata Thailand-Kemboja adalah semata-mata untuk memastikan keselamatan dan kestabilan di wilayah berkenaan terus terjamin, dan bukan bertujuan campur tangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata bilangan anggota Pasukan Pemerhati Interim (IOT) ASEAN sedia ada perlu diagihkan secara lebih seimbang di kedua-dua negara jiran itu.
“Contohnya, kita ada 10 anggota di Bangkok tetapi hanya dua di Phnom Penh. Jadi, jumlah itu perlu ditingkatkan.
“Sekiranya tidak mencukupi, pasukan tambahan boleh diambil daripada atase pertahanan dan kedutaan serta disokong oleh pasukan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang bertemakan’”Meningkatkan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti ASEAN: Merapatkan Kerjasama Undang-undang untuk Pertumbuhan Inklusif”, di sini hari ini.
Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai pada Rabu menolak cadangan menghantar lebih ramai pemerhati antarabangsa bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja.
Phumtham berkata Anwar telah menghubunginya pada Selasa dengan mencadangkan penempatan tambahan pemerhati antarabangsa atas alasan IOT ASEAN tidak mampu melaksanakan tugas itu secara bersendirian – BERNAMA