Nilai kerosakan akibat kebakaran hutan di Sepanyol dianggarkan US$700 juta

MOSCOW: Kebakaran hutan di Sepanyol telah menyebabkan kerosakan langsung kepada sektor pertanian dan ternakan bernilai sekurang-kurangnya €600 juta (US$700 juta), lapor akhbar El Periodico pada Rabu, memetik data daripada persatuan pertanian Sepanyol COAG, menurut Sputnik/RIA Novosti.

Industri yang paling teruk terjejas dilaporkan ialah penternakan lebah. Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 10,000 sarang lebah, manakala kehilangan tumbuh-tumbuhan menyebabkan lebah kehilangan sumber makanan untuk tahun-tahun akan datang, menurut laporan itu.

Penternak juga menghadapi masalah. ribuan hektar padang ragut musnah terbakar, dan kini pemilik lembu, biri-biri, dan kambing terpaksa membeli makanan ternakan untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun. Pada masa sama, adalah mustahil untuk menganggarkan jumlah haiwan yang mati dalam kebakaran itu, lapor El Periodico.

Sementara itu, kesatuan petani Union de Uniones mendesak agar pihak berkuasa mengubah pendekatan mereka terhadap pengurusan hutan, memperkukuh langkah pencegahan dan pembersihan hutan.

Pada Isnin, perkhidmatan pemantauan perubahan iklim Eropah, Copernicus menunjukkan bahawa keluasan kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan di Sepanyol telah mencecah 344,417 hektar (851,000 ekar) sejak awal tahun ini sekali gus mengatasi rekod 2022 yang sebelum ini dianggap paling teruk dari segi kebakaran di EU dengan keluasan 306,555 hektar – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *