SHAH ALAM: Polis menahan lima lelaki dan merampas syabu seberat 425.25 kilogram (kg) bernilai RM13.6 juta dalam empat serbuan di sekitar Puchong dan Kuala Lumpur, Isnin lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 33 hingga 64 tahun termasuk ketua sindiket terbabit.
Beliau berkata siri serbuan bermula 11.20 pagi itu turut membongkar sebuah rumah teres yang dijadikan stor penyimpanan dadah.
“Suspek pertama ditahan di kawasan tempat letak kereta di pusat bandar Puchong bersama dadah jenis syabu seberat 103.87 kg yang ditemukan di dalam kereta dipandunya, diikuti penahanan seorang lagi suspek dan rampasan 37.21 gram syabu dalam serbuan kedua di di jalan utama Lebuhraya Damansara-Puchong.
“Serbuan ketiga di sebuah restoran sekitar Bandar Puchong Jaya telah berjaya membawa kepada penahanan suspek ketiga dan keempat.
Pemeriksaan terhadap rumah teres di sekitar kawasan sama menemukan dadah jenis syabu seberat 321.02 kg,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hussein berkata suspek kelima yang merupakan koordinator atau ketua sindiket tersebut ditahan di tempat letak kereta sekitar kawasan LRT Sri Petaling, Kuala Lumpur dalam operasi yang berakhir kira-kira 12.40 tengah hari itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek pertama dan kedua berperanan sebagai penghantar manakala suspek ketiga dan keempat sebagai penjaga stor dengan modus operandi dengan menjadikan unit rumah teres sebagai stor penyimpanan dadah sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan.
Polis juga tidak menolak kemungkinan dadah tersebut akan dipasarkan ke Sabah dan Sarawak selain dibawa masuk ke Kalimantan, Indonesia.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis ketamin selain kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,“ katanya dan menambah mereka adalah sebahagian daripada saki baki sindiket besar yang pernah ditumpaskan polis di Bagan Datuk, Perak pada Mac lepas.
Hussein berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Ogos dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam serbuan itu, polis turut menyita sejumlah barangan bernilai RM133,350 melibatkan dua kereta, dua jam tangan, pelbagai jenis barang kemas serta wang tunai RM3,950. – Bernama