Jawatankuasa Parlimen bentang penyata isu buli sekolah Khamis depan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen akan membentangkan satu penyata berhubung isu buli di sekolah Khamis depan susulan sesi taklimat bersama kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berlangsung hari ini.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan Yeo Bee Yin berkata penyata itu akan merumuskan syor dan pandangan yang diperoleh daripada pendengaran melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri serta pelbagai NGO dan aktivis.

“Daripada taklimat hari ini, antara syor paling penting yang dimahukan semua NGO dan aktivitis ialah penubuhan sebuah portal aduan buli yang mesra kanak-kanak di peringkat kebangsaan.

Yeo juga berkata jawatankuasa itu menyambut baik usaha kerajaan untuk meneliti keperluan menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau berkata ia perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya dari sudut disiplin.

“Kita tahu mangsa buli berpotensi menjadi pembuli pada masa depan jika tidak diberikan sokongan emosi yang sewajarnya… jadi, akta itu perlu mengimbangi aspek disiplin (penguatkuasaan) dan juga memberi bantuan emosi,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki pula berkata pelantikan warden asrama seharusnya tidak dibuat dalam kalangan guru demi memastikan keberkesanan pengurusan pelajar dan kelangsungan sesi pengajaran.

Beliau berkata guru memikul pelbagai tanggungjawab di sekolah dan penambahan peranan sebagai warden boleh memberi tekanan yang besar terhadap kualiti tugas mereka khususnya apabila perlu meninggalkan kelas bagi menyelesaikan konflik dalam kalangan pelajar.

“Bila mereka terpaksa keluar dari kelas untuk selesaikan isu, itu akan menjejaskan proses pengajaran.

Beliau juga berpendapat dalam melantik warden sekolah, aspek paling kritikal yang perlu diberi perhatian ialah proses saringan latar belakang dan ujian psikometrik bagi memastikan mereka sesuai bekerja dengan kanak-kanak.

“Tidak kira sama ada anda menjaga kanak-kanak atau berurusan dengan mereka, anda perlu menjalani saringan dengan kesesuaian bekerja dengan kanak-kanak… kita tak mahu orang yang bekerja dengan kanak-kanak itu adalah orang yang pernah ada rekod salah laku dengan kanak-kanak,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *