KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan seorang ejen insurans berusia 40-an yang disyaki bersubahat dalam kes pelaburan palsu bernilai kira-kira 21 juta ringgit.
Suspek ditahan pada pukul 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati sebanyak 22 pelabur telah diperdaya untuk melabur 21 juta ringgit di sebuah koperasi di Lembah Klang.
Wang pelaburan itu tidak diterima oleh koperasi berkenaan dan pelabur hanya diberi sijil pelaburan palsu.
Suspek dipercayai melakukan kesalahan berkenaan sekitar 2023 hingga tahun ini.
Susulan itu, suspek direman lima hari hingga 24 Ogos selepas Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama