JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menggesa orang ramai memainkan peranan aktif dalam membanteras budaya buli dengan menyalurkan aduan melalui platform khas yang disediakan pihak berkuasa.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setiap laporan yang dibuat mampu menyelamatkan nyawa serta masa depan anak-anak yang menjadi mangsa.
“Sekiranya melihat, mendengar atau menjadi mangsa buli, jangan berdiam diri,“ katanya.
Beliau menyarankan penggunaan hotline aduan 24 jam untuk murid sekolah melalui Sistem Aduan Buli Kementerian Pendidikan di talian 03-88849325.
Aduan juga boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp di talian 014-8009325.
Bagi murid tadika dan prasekolah pula, aduan boleh dibuat menerusi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Onn Hafiz menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail agar gejala buli dibendung segera.
Beliau menekankan keperluan penguatkuasaan lebih ketat bagi memastikan institusi pendidikan menjadi kawasan selamat untuk kanak-kanak.
Kerajaan negeri memandang serius setiap kes buli yang bukan sahaja salah laku disiplin malah satu jenayah sosial.
Onn Hafiz berkata jenayah buli mampu merosakkan kehidupan, menghancurkan keluarga dan menggugat masyarakat.
Setiap sekolah dan asrama mesti diangkat sebagai zon selamat bebas daripada ancaman buli.
Sokongan kaunseling perlu diperkukuh dengan kesedaran masyarakat dipertingkatkan.
Saluran aduan juga perlu dipermudahkan agar mangsa berani tampil membuat laporan.
Terdahulu, beliau mengiringi keberangkatan Tunku Mahkota Ismail ke Hospital KPJ Pakar Puteri.
Lawatan tersebut adalah untuk melawat seorang murid darjah empat yang dirawat selepas menjadi mangsa buli.
Mangsa dilaporkan mengalami gegaran otak dan gangguan ingatan akibat insiden buli di sebuah sekolah di Skudai. – Bernama