KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengeluarkan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM9.35 bilion kepada lebih tiga juta pembayar cukai sehingga 30 Jun 2025.
Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan angka tersebut dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Daripada jumlah pembayar cukai yang terlibat, sebanyak 1.07 juta telah menerima bayaran balik sepenuhnya berjumlah RM2.73 bilion.
Penjelasan ini diberikan bagi menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai lebihan cukai tertunggak. MOF menekankan bahawa bayaran balik untuk syarikat akan dibuat mengikut keutamaan kes tertunggak lebih lama.
“Ini bagi memastikan semua pembayar cukai yang layak akan menerima sekurang-kurangnya sebahagian bayaran balik,“ jelas kementerian itu.
Baki bayaran akan disalurkan pada tahun sama atau berikutnya berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan.
Sementara itu, MOF menjelaskan bahawa pengenaan cukai jualan kepada barangan bernilai rendah (LVG) bermula 1 Januari 2024.
Cukai LVG dikenakan ke atas semua barang import bernilai kurang RM500 yang dijual dalam talian.
“Pengenaan cukai LVG tidak melibatkan barang yang dikilangkan secara tempatan,“ tegas kementerian. Penjelasan ini diberikan bagi menjawab pertanyaan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai kesan SST terhadap kos sara hidup. – Bernama