KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh dan ADUN Gombak Setia Muhammad Hilman Idham akan didakwa dalam masa terdekat.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan diambil berdasarkan keterangan dan bukti yang diperoleh.
Pertuduhan akan dikemukakan terhadap mereka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Jabatan ini telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung kenyataan dibuat Dr Akmal di laman Facebook Akmal Saleh.
Siasatan turut melibatkan Muhammad Hilman menerusi platform TikTok alfah.channel.tv.
Kenyataan-Kenyataan yang dibuat oleh individu-individu tersebut didapati telah menggugat ketenteraman awam.
Ia juga merupakan penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian menurut kenyataan itu.
AGC memaklumkan pertuduhan juga akan dibuat terhadap Chandrasegaran Subramaniam dan Siti Hajar Aflah Sharuddin.
Mereka didakwa masing-masing berkaitan kenyataan yang dimuat naik di akaun TikTok cikguchandra3 dan SHA_Abrienda.
Siti Hajar juga akan dituduh di bawah Akta 574 manakala Chandrasegaran pula akan dituduh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Semua pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat. – Bernama