KUALA LUMPUR: Sebanyak 475 juta e-invois telah direkodkan setakat ini, melibatkan 98,813 pembayar cukai.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata angka itu merangkumi fasa pertama hingga ketiga pelaksanaan mandatori bermula 1 Julai 2025.
Beliau menambah, seramai 37,000 pembayar cukai daripada fasa keempat dan kelima turut menyertai secara sukarela.
“Penyertaan ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai terhadap e-Invois,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Lim menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status pelaksanaan e-invois dan unjuran hasil kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan e-Invois masih di peringkat awal.
“Unjuran peningkatan hasil hanya boleh ditentukan selepas pelaksanaan mandatori penuh pada 1 Julai 2026,” katanya.
Kerajaan akan terus memantau keberkesanan sistem ini dalam meningkatkan pematuhan cukai. – Bernama