Prestasi perdagangan Malaysia catat RM265.92 bilion pada Julai 2025

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia mencatat pertumbuhan positif sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion pada Julai 2025. Nilai ini merupakan rekod tertinggi bagi perdagangan bulanan, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Eksport meningkat 6.8 peratus kepada RM140.45 bilion, nilai tertinggi sejak September 2022. Import pula naik 0.6 peratus kepada RM125.47 bilion.

Lebihan perdagangan berterusan selama 63 bulan berturut-turut, bernilai RM14.98 bilion pada Julai 2025.

Eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) melonjak hampir RM12 bilion kepada RM63.31 bilion, meningkat 22.5 peratus berbanding Julai 2024.

“Sektor ini kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan eksport Malaysia, bersama peralatan optik dan saintifik serta makanan terproses,“ kata MITI.

Semua kategori tersebut mencatat nilai eksport tertinggi setakat ini. Penyumbang lain termasuk jentera, peralatan dan alat ganti serta produk berasaskan minyak sawit.

Eksport ke negara dagang utama seperti ASEAN, China, Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah menunjukkan pertumbuhan positif. Eksport ke Taiwan mencapai nilai tertinggi setakat ini.

Eksport ke negara rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut meningkat, terutama ke Mexico dan Republik Korea, didorong oleh eksport produk E&E yang lebih tinggi.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, jumlah perdagangan melonjak 4.7 peratus kepada RM1.731 trilion berbanding tahun sebelumnya. Eksport berkembang 4.3 peratus kepada RM900.47 bilion, manakala import meningkat 5.1 peratus kepada RM830.16 bilion.

Lebihan dagangan bagi tempoh tujuh bulan pertama 2025 berjumlah RM70.32 bilion.

“Prestasi ini dicapai meskipun prospek perdagangan global masih berhati-hati,“ kata MITI.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menyemak unjuran pertumbuhan dagangan global 2025 kepada 0.9 peratus, meningkat daripada jangkaan penurunan 0.2 peratus sebelum ini.

Pengurangan tarif AS ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus mencerminkan kejayaan diplomasi perdagangan MITI.

“Paras tarif ini, yang hampir setara dengan rakan ASEAN, akan terus menyokong daya saing negara,“ jelas MITI. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *