KUCHING: Bidang penterjemahan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan tamadun, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta menjadi wahana penting dalam memelihara dan menghargai warisan budaya pelbagai bangsa.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bidang penterjemahan memainkan peranan yang lebih luas daripada sekadar pemindahan makna antara bahasa.
“Di Sarawak, sebuah wilayah yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan linguistik, bidang penterjemahan mempunyai nilai yang amat tinggi,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohd Razi Sitam.
Abang Johari berkata dengan lebih 30 kumpulan etnik yang masing-masing memiliki bahasa dan dialek tersendiri di Sarawak, penterjemahan menjadi alat penting dalam memastikan komunikasi berkesan antara komuniti.
Beliau menambah ia juga berfungsi sebagai mekanisme pemeliharaan khazanah linguistik dan budaya yang unik di wilayah itu.
Abang Johari berkata Sarawak komited memajukan bidang pendidikan dan penyelidikan, termasuk bahasa dan terjemahan yang dilihat sebagai teras penting dalam ekosistem ekonomi berasaskan pengetahuan.
“Kita harus mengambil peluang dengan mengarusperdanakan identiti budaya Sarawak di mata dunia,” katanya.
Beliau menegaskan usaha itu bukan sahaja memaparkan bahasa-bahasa unik di Sarawak, malah menceritakan jati diri dengan cara yang difahami di peringkat global.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Mohd Hata Rasid berkata persidangan tiga hari itu merangkumi pembentangan kertas dasar dan sesi plenari bersama pakar penterjemahan tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata penglibatan pelbagai pihak termasuk Majlis Dekan-Dekan Bahasa Universiti Awam dan persatuan berkaitan bahasa isyarat serta peserta antarabangsa mampu memperkaya wacana penterjemahan. – Bernama