KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyelesaikan 19,205 tunggakan permohonan permit masuk Pemastautin Tetap (PR) yang direkodkan dari 2013 sehingga 2023.
Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pasukan petugas khas di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya meluluskan 15,081 permohonan manakala 4,124 ditolak.
Beliau menambah sebanyak 2,575 permohonan direkodkan pada tahun 2024 dan akan diselesaikan bulan ini.
“Setakat Jun tahun ini, kita ada 1,900 permohonan dan saya minta pegawai-pegawai saya di KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), September ini juga kena selesai semua sekali,” katanya.
Saifuddin Nasution menjelaskan langkah ini membolehkan purata permohonan baharu permit masuk dikendalikan sebanyak 300 sebulan.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai status kemajuan penyelesaian baki 11,000 permohonan PR menjelang Jun.
Soalan turut menyentuh langkah jangka pendek untuk membantu pemohon yang belum berjaya. – Bernama