MCMC kenal pasti individu palsu sebagai pakar patologi di TikTok

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti individu di sebalik akaun TikTok “Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar” yang didakwa menyamar sebagai pakar patologi.

Individu tersebut turut mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan suspek bukan seorang pakar patologi.

“Individu berkenaan dikesan berdekatan kawasan Kota Damansara lewat malam tadi hasil maklumat daripada keterangan dua individu yang turut berada dalam sesi TikTok Live akaun tersebut.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk rakaman keterangan.

Peralatan komunikasinya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut.

MCMC menegaskan penyebaran maklumat palsu, khususnya membabitkan isu sensitif seperti kematian, tragedi atau mangsa nahas, merupakan satu kesalahan serius.

Perbuatan ini boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *