KPKT sasar RM1 bilion tambahan untuk pembersihan awam

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan peruntukan tambahan lebih RM1 bilion bagi memperhebat usaha pembersihan awam.

Sasaran ini dibuat susulan persetujuan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk menerima pakai Akta 672.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan tambahan itu akan membolehkan pelaksanaan beberapa reformasi.

Antaranya adalah sasaran 20 peratus daripada kenderaan pembersihan awam beralih kepada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2027.

“Ini selaras dengan dasar dekarbonisasi negara menuju ke arah ekonomi sifar karbon,” katanya.

KPKT juga akan memperkenalkan inisiatif pembersihan awam pada waktu malam.

Program pembersihan mendalam di kawasan tumpuan pelancongan turut dirancang supaya bebas daripada habuk dan sampah.

Nga berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Inisiatif Belanjawan 2026 Bersama Pemegang Taruh KPKT di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk M Noor Azman Taib.

Nga berkata sesi berkenaan dihadiri lebih 300 pemegang taruh.

Mereka menerima hampir 55 cadangan dan pandangan daripada 30 wakil persatuan, badan profesional serta pertubuhan masyarakat.

Antaranya adalah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Home Buyers Association, pasukan bomba sukarela dan Rukun Tetangga.

“Kita akan rumuskan segala input yang diterima untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada 4 Sept ini,” katanya.

Belanjawan 2026 dijangka memberi manfaat kepada rakyat melalui lebih 10 inisiatif baharu.

Ini termasuk menumpukan kepada projek prasarana awam dengan sasaran 10,000 projek kemudahan awam dilaksanakan tahun depan.

“Berdasarkan rekod cemerlang, pada tahun lepas kita berjaya menyempurnakan 6,611 projek,” kata Nga.

Projek tersebut meliputi taman, pasar, medan selera, pusat penjaja dan tandas awam.

KPKT mensasarkan peruntukan BP1 ditingkatkan sekali ganda kepada tidak kurang RM500 juta.

Selain itu, KPKT akan mencadangkan Kempen Pemilikan Rumah MADANI kepada Kementerian Kewangan.

Kempen ini bertujuan merancakkan sektor hartanah dan memperkukuh lebih 200 industri berkaitan.

“Kempen ini akan memastikan setiap anak Malaysia berpeluang memiliki rumah kediaman idaman mereka,” kata Nga.

Belanjawan 2026 dijangka dibentangkan pada 10 Okt ini di Parlimen.

Ia berteraskan tiga prinsip utama iaitu menaikkan siling potensi ekonomi negara.

Pelaburan strategik dalam sektor bernilai tinggi dan berteknologi turut menjadi fokus.

Selain itu, ia menekankan usaha menaikkan lantai taraf hidup rakyat melalui pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.

Pembaharuan serta tadbir urus yang baik turut dipacu bagi memastikan perkhidmatan awam yang moden, berintegriti dan cekap. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *