KOTA MARUDU: Polis sedang mengesan saksi kes langgar lari seorang pelajar lelaki tingkatan empat yang maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil di Jalan Bongkol, Kampung Kalipoun Darat, Pitas di sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Supt Simiun Lomudin berkata hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa bergesel dan kemudian diseret kenderaan tersebut dalam kejadian 6.30 petang itu.
“Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah, pemandu kenderaan yang terlibat dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian.
“Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian berkenaan agar tampil membantu siasatan,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Simiun berkata orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu Insp Julina Samual di talian 088-661066.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian- Bernama