SINGAPURA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berharap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menerima sokongan sewajarnya dalam Belanjawan 2026 supaya mereka lebih bersedia untuk mengeksport dan menembusi pasaran baharu.
Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata berikutan ketidaktentuan geopolitik semasa, industri dan syarikat memerlukan dasar yang dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran global yang sedang berubah.
“Syarikat besar mungkin mempunyai dana untuk memperoleh akses pasaran, tetapi PKS dan rantaian bekalan yang menyokong mereka, misalnya memerlukan bantuan untuk membolehkan penyertaan dalam ekspo,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi Bursa Malaysia Invest Malaysia di Persidangan ASEAN Macquarie ke-16 di sini.
Menurutnya MITI juga sedang berusaha untuk menyokong syarikat Malaysia dalam mengeratkan hubungan dalam ekosistem perindustrian dan meningkatkan tahap kecanggihan mereka sebagai tindak balas kepada keadaan geoekonomi dan geopolitik yang kompleks.
“Asas mereka perlu kukuh. Mereka perlu melabur dalam kecerdasan buatan (AI), menjadi lebih produktif, menarik bakat yang lebih baik serta memperkukuh sistem penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.
“Semua ini penting untuk meningkatkan keupayaan syarikat kami — PKS dan syarikat tempatan besar kami terutama dalam sektor semikonduktor,” katanya.
Dalam ucaptama beliau, Tengku Zafrul yakin Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan pada Oktober akan menyokong keutamaan negara seperti yang telah digariskan dalam kerangka dasar utama termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 MITI, Strategi Semikonduktor Nasional, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Pelaburan Hijau.
Beliau berkata pemain industri boleh menjangkakan insentif yang memberi ganjaran kepada pematuhan hijau dan produktiviti serta pemerkasaan eksport bagi PKS dalam bentuk pembiayaan, insurans dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.
Belanjawan 2026 juga dijangka memberi keutamaan kepada penggunaan teknologi terutama dalam AI dan automasi dalam sektor pembuatan.
“Prinsip panduan kami tetap jelas: disiplin fiskal dengan kecenderungan kepada industri yang disasarkan, pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” katanya – BERNAMA