SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang membangunkan hab halal berkuasa kecerdasan buatan (AI).
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Pusat Pengedaran Halal Serantau (RHDC) bernilai RM400 juta akan dibangunkan di kawasan seluas 5.423 hektar di Bandar Enstek, dengan pembinaan dijangka bermula bulan depan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam Negeri berkata, pusat itu akan dilengkapi sistem automasi, AI dan pengurusan pintar bagi memaksimumkan kecekapan operasi serta mengawal kos dengan berkesan.
“Ini yang pertama seumpamanya di negara ini. Walaupun terdapat banyak kemudahan logistik, pusat yang menggabungkan reka bentuk moden, AI dan teknologi khusus untuk produk halal disimpan dan dieksport belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Keunikan RHDC inilah yang membezakannya dengan kemudahan sedia ada di Malaysia. Penggunaan teknologi canggih akan menjadikan RHDC pusat yang memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih berkesan,“ katanya.
Aminuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) dan syarikat pembangunan perisian serta logistik rantaian sejuk Gobuilders Netsoft Sdn Bhd hari ini.
PKNNS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Rusmimah Mat Derus manakala Gobuilders diwakili CEO Ivan Chin Wen Hau.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, pembangunan RHDC juga akan menjadi pemangkin kepada pelaburan baharu di Negeri Sembilan, terutamanya bagi penggiat industri halal yang banyak mengeksport ke Timur Tengah.
Aminuddin menambah, RHDC yang terletak dalam kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 akan mengukuhkan usaha mempromosikan industri halal sambil menarik minat pelabur global yang mencari pensijilan halal.
“Dengan kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan, Negeri Sembilan akan menjadi tumpuan industri halal bukan sahaja dari rantau Asia malah berpotensi dari seluruh dunia.
“Selain menyediakan infrastruktur moden, projek ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, khususnya untuk penduduk tempatan,“ katanya sambil menekankan permintaan tinggi terhadap produk halal di Eropah, Rusia, Kanada dan Jepun dengan pasaran global bernilai trilion.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin menasihati penternak kerang atau kupang di perairan Port Dickson agar tidak menuai atau mengutip hasil mereka buat masa ini.
Beliau berkata, ini berikutan tahap biotoksin tinggi yang dikesan dalam hasil laut itu, yang boleh mendatangkan risiko kesihatan jika dimakan.
“Kami akan memantau isu ini dengan teliti dan berharap keadaan akan pulih dalam tempoh sebulan memandangkan musim hujan di kawasan ini,“ kata Aminuddin- Bernama