KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan individu terlibat dan saksi kejadian seorang wanita terjun keluar dari sebuah kenderaan di Lebuhraya Sprint.
Kejadian itu tular menerusi video berdurasi 14 saat yang dimuat naik di akaun Facebook Lion Wong.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata video tersebut memaparkan wanita itu membuka pintu dan keluar ketika kenderaan sedang bergerak laju.
“Wanita tersebut telah bergolek di atas jalan raya dan hampir dilanggar oleh beberapa kenderaan,” katanya.
Polis Diraja Malaysia mengesahkan tiada laporan diterima setakat ini berkaitan kejadian itu.
Orang ramai yang terlibat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.
Maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999- Bernama