Kertas siasatan GISBH di Selangor diperkemas, tunggu pendakwaan

SHAH ALAM: Kertas siasatan berhubung kes melibatkan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah diperkemas dan dihantar semula kepada pihak pendakwaan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pihaknya kini sedang menunggu tindakan susulan pihak pendakwaan terhadap syarikat berkenaan yang sebelum ini dikait terbabit dengan pelanggaran fatwa ajaran sesat di negeri ini.

“Setakat dua minggu lepas, saya dimaklumkan kertas siasatan telah dihantar semula selepas diperkemaskan, jadi kini sedang menunggu pendakwaan,“ katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah Malaysian Book Of Records Flexi Parking di sini hari ini.

Beliau berkata perkembangan terkini turut menyaksikan jumlah bekas pengikut GISBH di Selangor telah berkurangan, dipercayai berpindah ke negeri lain kerana sedar rangkaiannya yang difatwa sesat di negeri ini.

Mengulas mengenai pemulihan pengikut GISBH, Mohammad Fahmi berkata kesemua kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan GISBH juga telah mengikut pendidikan di sekolah arus perdana.

Beliau berkata Lembaga Zakat Selangor juga memastikan penyaluran bantuan disediakan bagi menjamin mereka memperoleh keperluan asas yang lengkap.

“Bagi ibu bapa pula, mereka telah hadir ke kelas-kelas (pemulihan) Al-Riqab yang disediakan. Jadi, pemulihan telah berlaku dengan baik dan proses pemulihan ini masih berjalan untuk tempoh enam bulan ini,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *