Inkuis kematian Zara Qairina bermula 3 Sept di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini menetapkan 3 September ini sebagai tarikh permulaan prosiding inkuis bagi menyiasat kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.

Koroner Azreena Aziz memutuskan prosiding akan berlangsung dari 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September.

Pegawai Pengendali Mohd Fairus Johari yang juga Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara telah memfailkan permohonan untuk siasatan kematian Zara Qairina berusia 13 tahun semalam.

“Seramai 195 saksi terlibat dalam kes ini, tetapi senarai akhir saksi akan diselesaikan sebelum prosiding bermula,“ katanya.

Azreena turut meminta senarai saksi dimuktamadkan sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pertama prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus turut dilantik sebagai Pegawai Pengendali bagi kes ini.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan sehari sebelumnya.

Pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Papar itu ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi, 16 Julai.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan minggu lalu mengesahkan inkuis akan dijalankan setelah meneliti laporan siasatan polis.

Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang telah digali semula untuk bedah siasat pada 9 Ogos. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *