NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori tipper telah ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu sehingga hampir merempuh anggota polis dalam kejadian di Jalan Sungai Daun di sini pada Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Jay January Siowou berkata operasi bersepadu telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Plaza Tol Jawi sekitar pukul 11.30 malam.
“Semasa operasi, dua lori tipper yang mencurigakan enggan berhenti apabila diarahkan dan terus memecut menuju Jalan Besar Nibong Tebal,“ katanya dalam kenyataan.
Salah sebuah lori tersebut melanggar lampu isyarat merah di Bukit Panchor dan hampir melanggar anggota polis yang bertugas sebelum berjaya ditahan di Jalan Sungai Duan.
Pemeriksaan mendapati pemandu lelaki tempatan itu tidak memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Barangan yang sah, dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh.
Lori terlibat telah disita dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan berkaitan pemanduan melulu dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu terbabit memandu secara berbahaya sehingga ke Jalan Transkrian sebelum berjaya ditahan dengan bantuan kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal,“ jelas Jay January. – Bernama