KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini memberi tumpuan kepada isu penyeludupan daging khinzir, status pembinaan Lebuhraya Pan Borneo serta trend peletakan jawatan dalam kalangan doktor dan jururawat di hospital kerajaan.
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai tindakan MAQIS menangani penyeludupan daging khinzir yang berisiko membawa penyakit Streptococcus suis dan African Swine Fever.
Beliau turut meminta maklumat jumlah tangkapan yang dibuat terhadap aktiviti penyeludupan daging khinzir sepanjang tahun 2024.
Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) pula meminta penjelasan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai status kajian perlombongan unsur nadir bumi di Hutan Simpan Kekal serta jangka masa penyelesaian kajian tersebut.
Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengemukakan soalan kepada Menteri Kerja Raya berkenaan kemajuan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, khususnya bagi jajaran Sindumin-Melalia dan Melalia-Beaufort.
Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta Menteri Kesihatan memberikan data terperinci mengenai jumlah doktor dan jururawat yang meletak jawatan dari 2020 hingga Jun 2025 serta langkah mengatasi kekurangan tenaga kerja di hospital awam.
Sesi persidangan hari ini turut menyaksikan penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dihadiri 161 Ahli Parlimen sejak 4 Ogos lalu.
RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas membabitkan peruntukan RM611 bilion untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung sehingga 28 Ogos depan. – Bernama