Tiga maut, lapan cedera dalam insiden tembakan rambang di NYC

ISTANBUL: Tiga orang maut dan lapan yang lain cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah restoran di Brooklyn, New York City (NYC) pada awal pagi Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pesuruhjaya Polis Jessica Tisch berkata anggota polis bertindak balas terhadap laporan kejadian tembakan di Taste of the City Lounge di Franklin Avenue, Crown Heights, sejurus sebelum 3.30 pagi waktu tempatan.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai tiga lelaki, masing-masing berusia 27 dan 35 tahun manakala umur seorang lagi mangsa belum dapat ditentukan.

Lapan mangsa lain dibawa ke hospital berdekatan. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan keadaan mereka.

Tisch berkata pihak penyiasat menemukan sekurang-kurangnya 36 kelongsong peluru daripada pelbagai senjata di tempat kejadian. Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“Setakat ini, kami telah mengenal pasti 11 mangsa berusia antara 27 hingga 61 tahun, terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita,“ katanya.

Beliau menyatakan bahawa New York merekodkan jumlah insiden tembakan dan mangsa paling rendah bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sambil menyifatkan serangan itu sebagai satu anomali tragik.

Polis telah melancarkan siasatan- BERNAMA-ANADOLU

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *