Skuasy Kebangsaan 2025: Aira pertahan gelaran, Duncan cipta sejarah

KUALA LUMPUR: Pemain wanita negara Aira Azman mengukuhkan penguasaannya selepas merangkul gelaran ketiga berturut-turut pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2025 di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

Pada edisi ke-40 kejohanan itu, juara bertahan berusia 20 tahun berkenaan menewaskan kakaknya Aifa, 23, dengan keputusan 8-11, 11-5, 9-11, 11-6, 11-8 pada aksi akhir kategori wanita.

“Saya sangat gembira dengan corak permainan hari ini walaupun berdepan kakak buat kali kedua di pentas kebangsaan. Ia memang perlawanan yang cukup mencabar dan saya amat berpuas hati dapat meraih gelaran ketiga kebangsaan,” katanya menerusi rakaman suara yang dikongsi kepada pemberita.

Sementara itu, Duncan Lee mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran pertama pada Kejohanan Kebangsaan selepas menewaskan Sanjay Jeeva dalam pertembungan sengit kategori lelaki.

Pemain berusia 23 tahun itu mengesahkan kemenangan straight set dengan keputusan 11-9, 11-8, 11-8.

“Ini detik yang sungguh luar biasa bagi saya. Saya bukan sebahagian daripada program podium, jadi saya amat gembira dapat menewaskan semua pemain program podium. Sasaran saya tahun ini ialah menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik dunia dan saya juga berharap dapat beraksi pada Sukan SEA,” katanya- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *