GEORGE TOWN: ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Buletin 4.0 anjuran Kerajaan Pulau Pinang di Padang Kota Lama di sini hari ini berjaya menarik kehadiran lebih 40,000 pengunjung.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penganjuran bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dilihat dapat meningkatkan penyertaan dan memberi pengalaman luar biasa kepada pengunjung untuk mengenali secara dekat kecanggihan aset serta kelengkapan armada laut serantau.
“Kehadiran pengunjung dalam dan luar negeri dalam program ini adalah cerminan semangat kebersamaan dalam meraikan kepelbagaian yang terdapat di Pulau Pinang.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada TLDM khususnya dalam memastikan kejayaan dan kerancakan penganjuran Hari Buletin yang memasuki edisi keempat tahun ini,” katanya pada Majlis Penutupan Hari Buletin 4.0 Bersama TLDM di Padang Kota Lama, di sini hari ini.
Terdahulu, ANCP dan Hari Buletin menampilkan perarakan kontinjen daripada 10 kapal tentera laut negara ASEAN, demonstrasi bot tempur serta flypast (terbang lintas hormat) helikopter TLDM, persembahan kawad senyap, pancaragam TLDM selain aktiviti peraduan mewarna dan melukis poster, pertandingan pakaian beragam, cabutan bertuah, pemeran oleh pelbagai agensi kerajaan serta jualan makanan dan minuman.
ANCP merupakan inisiatif TLDM bagi mempromosikan tradisi ketenteraan laut kepada masyarakat, membabitkan perarakan kontinjen daripada 10 kapal tentera laut negara ASEAN manakala Hari Buletin meraikan pembaca akhbar rasmi kerajaan negeri, iaitu Buletin Mutiara yang menjadi wadah rakyat dalam mendapatkan informasi mengenai dasar dan program kemasyarakatan serta berita tempatan Pulau Pinang.
ANCP diadakan serentak dengan beberapa acara penting serantau termasuk Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, Eksesais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) Ketiga dan ASEAN Fleet Review (AFR) yang berlangsung sekitar Pulau Mutiara itu- BERNAMA