JAKARTA: Sekurang-kurangnya 29 orang cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal, selepas gempa bumi berukuran 6 magnitud melanda pulau Sulawesi di tengah Indonesia pada pagi Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik seorang pegawai.
Seramai 13 mangsa yang cedera telah dikejarkan ke kemudahan perubatan di daerah Poso dan Tokorondo di wilayah Sulawesi Tengah akibat kecederaan dialami selepas ditimpa runtuhan sebuah rumah ibadat yang rosak, menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari.
Gempa bumi itu turut merosakkan sebuah gereja di Kampung Masani, manakala jumlah penduduk yang dipindahkan masih dalam pengesahan. Gempa bumi berkenaan melanda Poso pada 5.38 pagi Ahad (2138 GMT Sabtu) dengan pusat gempa berada pada kedalaman 10 kilometer.
Pihak berkuasa memaklumkan tiada potensi berlakunya tsunami. Gegaran selama kira-kira 15 saat itu dirasai dengan kuat di beberapa kampung di daerah Poso Pesisir, menyebabkan penduduk panik dan keluar meninggalkan rumah.
Di daerah berdekatan, Sigi, gegaran dirasai pada tahap sederhana selama kira-kira tujuh saat, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.
Abdul Muhari berkata penduduk digesa supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan dan mengelak daripada berada di bangunan yang rosak – BERNAMA-dpa