PUTRAJAYA: Orang ramai dan premis perniagaan di Wilayah Persekutuan diingatkan sentiasa menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol maruah dan identiti negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata bendera Malaysia adalah lambang yang perlu diberikan keutamaan.
Beliau menekankan pentingnya menanamkan nilai kesedaran cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat.
Justeru, beliau menasihatkan premis perniagaan dan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menaikkan bendera.
“Apa yang telah berlaku beberapa minggu ini maka sebagai satu peringatan untuk kita berhati-hati ketika kita menaikkan bendera Malaysia,“ katanya.
Beliau menegaskan pentingnya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi menjaga kehormatan negara.
Dr Zaliha berkata demikian kepada media selepas Program MADANI Brisk Walk 2.0 @ Taman Saujana Hijau.
Program itu dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Putrajaya.
Beliau berkata program riadah itu sejajar dengan visi Wilayah Persekutuan sebagai Bandar CHASE.
Bandar CHASE merangkumi Clean (bersih), Healthy (sihat), Advanced (maju), Safe (selamat) dan Eco Friendly (mesra alam).
Dalam kesempatan itu, beliau turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengunjung dan penduduk sekitar Putrajaya.
Pengedaran bendera itu sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut 31 Ogos dan 16 September ini.
Tema sambutan tahun ini adalah “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”. – Bernama