Pemandu lori maut dalam letupan tangki semasa kerja kimpalan

SEREMBAN: Seorang pemandu lori maut manakala pembantu bengkel cedera ringan selepas sebuah lori tangki meletup ketika kerja kimpalan di sebuah bengkel Batu 6, Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Penolong Kanan Penguasa Bomba Kanan I Mohd Syazwan Saidy berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.23 tengah hari.

Setibanya di lokasi, mangsa berusia 33 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Lori tangki itu berada di bengkel sejak petang semalam untuk dibaiki.

Menurut saksi, dua mangsa berada di atas lori bagi membuat kerja pengimpalan sebelum secara tiba-tiba ia meletup menyebabkan mereka melambung setinggi tiga meter.

“Saksi melihat mangsa tidak sedarkan diri akibat cedera parah di kepala.

Saksi juga membantu mengangkat pembantu bengkel yang merupakan abangnya ke bilik sementara menunggu bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Syazwan berkata Pasukan Khas Hazmat BBP Seremban 2 telah membuat pengesanan di kawasan bengkel serta tempat berlaku letupan.

Bacaan persekitaran didapati kembali normal.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.

Pembantu bengkel dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini bagi rawatan.

Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *