KUALA LUMPUR: Seramai 478 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA dengan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM1.3 juta setakat ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif itu terus membantu pengamal media termasuk yang tidak lagi bertugas sekiranya memerlukan bantuan.
Beliau menyatakan 56 penerima merupakan pengamal media Tamil dan menggesa mereka yang memerlukan bantuan untuk menghubungi urusetia tabung tersebut.
Tabung Kasih@HAWANA dilancarkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023 untuk membantu kebajikan pengamal media.
Inisiatif ini merupakan komitmen Kerajaan MADANI untuk menghargai jasa wartawan dan sumbangan mereka kepada negara.
Teo turut memaklumkan Majlis Media Malaysia (MMM) yang baru diluluskan dijangka mengadakan mesyuarat pertamanya pada November ini.
Beliau menggesa Pertubuhan Media Tamil Malaysia menggalakkan ahlinya menyertai kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang ditawarkan IPPTAR.
IPPTAR merancang 80 kursus tahun ini dengan 57 kursus sudah dilaksanakan melibatkan 4,384 peserta setakat 31 Julai lepas.
Sebanyak 22 kursus berkaitan AI dirancang dengan 16 kursus sudah dijalankan melibatkan 814 peserta.
Teo optimis media Tamil mampu memainkan peranan penting sebagai jambatan budaya dan suara utama komuniti India- Bernama