478 pengamal media terima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA RM1.3 juta

KUALA LUMPUR: Seramai 478 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA dengan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM1.3 juta setakat ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif ini diterajui Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Bernama sebagai agensi pelaksana.

Beliau menegaskan tabung ini turut membantu bekas pengamal media yang memerlukan bantuan kewangan, perubatan atau kebajikan keluarga.

“Daripada angka itu, 56 penerima merupakan pengamal media Tamil,“ katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Media Tamil Malaysia 2025.

Teo menggesa media yang memerlukan bantuan atau mengenali individu layak untuk menghubungi urusetia tabung atau pejabatnya.

Tabung Kasih@HAWANA dilancarkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023 sebagai komitmen Kerajaan MADANI menghargai sumbangan wartawan.

Beliau turut memaklumkan Majlis Media Malaysia (MMM) bakal mengadakan mesyuarat pertamanya November ini bagi membincangkan isu industri media.

Teo turut menyarankan pengamal media Tamil menyertai kursus kecerdasan buatan (AI) anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

“IPPTAR merancang 22 kursus AI tahun ini dengan 16 sudah dilaksanakan melibatkan 814 peserta,“ jelasnya.

Kursus IPPTAR kini dibuka kepada umum termasuk pengamal media bagi meningkatkan kemahiran seiring perkembangan teknologi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *